Bagi individu yang memiliki tanah sendiri, mereka boleh memilih untuk bina rumah sendiri di atas tanah milik sendiri. Pembinaan rumah di atas tanah sendiri ini banyak memberi kelebihan kepada pemilik hartanah.
1. Bina Rumah Mengikut Pakej
Membina rumah mengikut pakej menyediakan pelbagai kelebihan yang penting untuk dipertimbangkan. Pertama, pakej menyediakan ketelusan kos yang memberikan kepastian kepada pembeli. Dengan harga tetap atau anggaran yang tetap, pembeli dapat merancang perbelanjaan mereka dengan lebih baik, mengelakkan kejutan kos tambahan yang tidak dijangka. Kedua, pengurusan projek yang mudah adalah kelebihan penting.
Dengan berurusan dengan satu pembekal atau kontraktor utama, proses pengurusan projek menjadi lebih mudah dan efisien. Ini membantu mengurangkan kekusutan dan memberikan kefahaman yang lebih baik tentang kemajuan projek.
Selain itu, beberapa pembangun menawarkan kemudahan pembiayaan yang fleksibel, menyediakan jalan yang lebih mudah untuk mendapatkan pembiayaan atau syarat yang lebih baik. Pembeli juga mendapat manfaat daripada reka bentuk yang dipilih, yang mengurangkan kesulitan dalam membuat keputusan reka bentuk rumah.
2. Semakan Status Tanah
Pemilik tanah perlu menyemak status tanah milik mereka terlebih dahulu sebelum membina rumah. Terdapat tiga (3) jenis tanah yang ada di Malaysia iaitu tanah bangunan, tanah pertanian dan tanah komersial.
Ketiga-tiga tanah ini membawa fungsi yang berbeza. Manakala, terdapat dua (2) jenis geran pemilikan tanah iaitu geran individu dan geran kongsi.
Oleh itu, pembinaan rumah sangat sesuai dibina di atas tanah bangunan dengan memiliki geran individu. Tuntasnya, setiap individu yang berhasrat untuk membeli tanah wajar untuk mengetahui status tanah yang dibeli.
3. Perlantikan Arkitek
Setelah mengetahui status tanah dan mempunyai geran tanah, pemilik tanah boleh mula membuat perlantikan arkitek. Ini kerana arkitek merupakan individu atau agensi yang bertanggungjawab untuk menguruskan pelan, rekaan dan hiasan rumah mengikut citarasa serta keinginan tuan rumah.
Setiap pelan yang dihasilkan mestilah mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
4. Pemilihan Kontraktor
Pemilihan kontraktor yang betul boleh menjamin kualiti pembinaan rumah yang baik. Kontraktor yang dipilih mestilah berdaftar melalui CIDB serta pakar dalam profession mereka.
Penilaian kontraktor mestilah dilakukan sebelum membuat pemilihan kontraktor ini.
5. Surat Perjanjian Pemilik Rumah dan Kontraktor
Perjanjian pembinaan rumah di atas tanah sendiri mestilah dilakukan dan dipersetujui oleh kedua-dua pihak. Ianya penting untuk memastikan kerja pembinaan yang dijalankan adalah mengikut spesifikasi pemilik rumah dan kerja-kerja pembinaan dilakukan dengan baik.
Ianya juga bertujuan untuk mengelakkan daripada ditipu oleh pihak kontraktor.
6. Modal Bajet Bina Rumah
Modal pembinaan kos buat rumah atas tanah sendiri ini boleh dipohon melalui pinjaman institusi perbankkan atau pihak LPPSA. Modal ini boleh dipohon setelah pelan pembinaan rumah diluluskan oleh PBT dan terdapatnya Perjanjian Pembinaan Rumah antara pemilik rumah dan pihak kontraktor.
Modal pembinaan diperlukan untuk menampung pembiayaan pembinaan rumah sehingga pembinaan rumah siap. Kos buat rumah ini bergantung kepada beberapa faktor yang pembinaan rumah seperti keluasan tanah pembinaan, saiz rumah, jenis bahan yang digunakan dan banyak lagi.
Faktor ini secara tidak langsung akan mempengaruhi kos pembinaan rumah.
7. Penilaian Pinjaman
Penilaian ini dilakukan berdasarkan dokumen hartanah pemilik rumah. Ianya mestilah munasabah setelah meneliti beberapa faktor.
8. Pembinaan Dijalankan
Pembinaan ini akan memakan tempoh masa yang panjang. Oleh itu, pemantauan dari semasa ke semasa mestilah dilakukan.
Pembayaran kepada pihak kontraktor dan individu yang terlibat mestilah dijelaskan bagi mengelakkan daripada projek hartanah ini tergendala.
9. Pembinaan Rumah Siap
Setelah pembinaan rumah siap berserta hiasan luaran dan dalaman rumah, pihak PBT akan mengeluarkan satu sijil yang dikenali sebagai Certificate of Completion and Compliance. Ia menunjukkan projek pembinaan rumah ini telah berjaya dijalankan sehingga terbina sebuah rumah di kawasan tersebut.
![]()

